28 Ogos 2017 - 14:20
Ratusan Pelarian Etnik Rohingya ‘Diserang’

Tentera Myanmar melepas tembakan menggunakan mesingan dan bom mortar terhadap beratus- ratus etnik Rohingya yang melarikan diri dari wilayah Rakhine ke sempadan Bangladesh, semalam.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Myanmar melepas tembakan menggunakan mesingan dan bom mortar terhadap beratus- ratus etnik Rohingya yang melarikan diri dari wilayah Rakhine ke sempadan Bangladesh, semalam.

Wartawan AFP yang berada di tempat kejadian memaklumkan kejadian itu berlaku di pos kawalan sempadan Ghumdhum yang merupakan kawasan etnik Ro­hingya terperangkap sejak kelmarin berikutan pertempuran terbaharu di utara Rakhine.

Menurut wartawan tersebut, beliau menyaksikan etnik Rohingya bertempiaran melarikan diri semasa anggota tentera berkenaan melepaskan tembakan namun se­hingga kini masih belum dipastikan sama ada berlaku sebarang kemalangan jiwa.

Ketua Stesen Sempadan Kawalan Bangladesh (BGB), Manzurul Hassan berkata, anggota tentera tersebut melepaskan tembakan terhadap etnik berkenaan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak yang bersembunyi di kawasan bukit bukau dekat sempadan.

“Mereka (anggota tentera) secara tiba-tiba melepaskan tembakan menggunakan mesingan dan bom mortar dengan menyasarkan orang awam. Mereka tidak berunding dengan BGB,” katanya.

Sementara itu, kerajaan Myanmar memindahkan sekuran-kurangnya 4,000 penduduk bukan Islam di beberapa kampung berikutan pertempuran yang semakin memuncak di barat daya Rakhine manakala pada masa yang sama beribu-ribu etnik Rohingya melarikan diri ke sempadan Bangladesh.

Jumlah mereka yang terkorban akibat pertempuran itu meningkat kepada 98 orang termasuk 80 anggota pemberontak dan 12 anggota pasukan keselamatan.

Menurut laporan kerajaan negara itu, pertempuran tersebut adalah yang paling teruk sejak Oktober lalu menyebabkan pihaknya terpaksa memindahkan beribu-ribu penduduk bukan Islam dan kakitangannya dari kawasan terbabit.

Pertempuran melibatkan anggota tentera dan beratus-ratus etnik Rohingya di kawasan berkenaan berlanjutan sehingga semalam dengan pertempuran paling sengit berlaku di pinggir bandar Maungdaw.

Menteri Penempatan Semula, Bantuan dan Kebajikan Sosial Myanmar, Win Myat Aye memberitahu Reuters, pihaknya sedang menyiapkan kemudahan kepada penduduk bukan Islam termasuk di kuil, pejabat kerajaan dan balai polis di bandar utama.

“Kami turut menyalurkan bantuan makanan kepada mereka dengan kerjasama kerajaan wilayah dan pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Namun beliau tidak memberi sebarang penjelasan tentang rancangan kerajaan untuk membantu etnik Rohingya.– Agensi